Thursday 8 March 2012

Enjin Carian untuk kanak-kanak

Yahoo! Kids

http://kids.yahoo.com



















Yahoo! Kids dahulunya dikenali sebagai Yahooligans (www.yahooligans.com). Ia dilaporkan sebagai direktori carian yang pertama wujud sejak bulan Mac 1996. Direka bentuk khusus untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, kandungannya dipilih dengan teliti supaya menepati keperluan carian kanak-kanak. Kini Yahoo Kids juga mempunyai enjin carian dalam dua bahasa asing iaitu Jepun dan Korea.

Di Yahoo! Kids, senarai direktori utamanya dimasukkan dalam 10 kategori. Antaranya ialah permainan, muzik, filem, lawak, sukan dan ibu bapa. Ruangan utama enjin carian ini ialah zon belajar (study zone). Di sini disediakan maklumat berkaitan negara-negara di dunia (World Factbook). Maklumat negara yang disediakan termasuk peta, bendera, statistik, kerajaan dan matawang.

Saya sendiri meminati ruangan lawak (jokes). Semasa artikel ini ditulis, terdapat lebih 2000 lawak disediakan. Apa yang menarik minat saya ialah lawaknya termasuk dalam kategori lawak pandai (bukan lawak bodoh) kerana 85 daripadanya termasuk dalam kategori lawak berkaitan sains.



KidsClick!

www.kidsclick.org






















Anda tidak perlu risau membiarkan anak anda ‘bermain’ dengan enjin carian ini. Hal ini kerana pengurus laman KidsClick memastikan tiada laman sesawang yang tersenarai di sini yang bersifat ganas, melibatkan kebencian atau berkaitan aktiviti haram.

KidsClick menyenaraikan lebih kurang 5,000 laman sesawang yang disimpan dalam pelbagai kategori. Sebagai tambahan Laman Common Sense Media (commonsensemedia.org) yang membuat penilaian terhadap laman ini menyatakan bahawa ia sesuai untuk kanak-kanak berumur 8 tahun dan ke atas.


Ask Kids
www.askkids.com




















Ask Kids adalah laman carian ekslusif untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Ia memberikan peluang kepada para ibu bapa membantu mencari bahan pembelajaran yang sesuai dengan peringkat umur anak mereka berbanding penggunaan enjin carian untuk orang dewasa yang lain.

Berdasarkan kajian, strategi pembelajaran dengan kaedah visual terbukti meningkatkan pemahaman dan pengekalan maklumat dalam kalangan kanak-kanak. Maka hasil carian di sini dipaparkan dalam bentuk panel grafik yang menarik bagi meransang daya berfikir secara visual kanak-kanak.


Fact Monster
www.factmonster.com




















Laman yang dipunyai oleh Pearson Education ini mempunyai maklumat yang sangat banyak. Ia bukan sekadar enjin carian untuk kanak-kanak tetapi juga bertindak seolah-olah sebuah ensiklopedia di alam maya. Kategori utama maklumatnya termasuk berkaitan dunia, sukan, sains, matematik dan wang serta banyak lagi.

Turut disediakan di laman ini ialah meja rujukan (reference desk). Ia membantu anak anda menyiapkan kerja rumah dengan pantas dan berkesan melalui Homework Center.


Kidsites.org

www.kidsites.org






















Sebagai satu direktori bagi carian maklumat kanak-kanak, pautan-pautan ke laman lain dipilih dengan teliti. Ini bagi memastikan bahan yang disediakan pada laman sesawang yang dipautkan sesuai untuk kanak-kanak, ibu bapa dan guru. Menu utama untuk kanak-kanak dikategorikan untuk kanak-kanak kecil, prasekolah dan sekolah rendah. Juga disediakan direktori khas untuk guru dan ibu bapa.

Laman ini dikelolakan oleh syarikat UptoTen dari negara Mauritius. Editor kandungannya telah melayari dan menguji lebih 5,000 laman kanak-kanak. Hanya 1,000 sahaja yang paling menarik disenaraikan di sini.

No comments:

Post a Comment